Sumber:
drhasanah
Wanita yang kematian suami mempunyai tempoh iddah
yang berbeza berbanding perpisahan akibat perceraian. Disebutkan dalam ayat 234
Surah al-Baqarah:
((..dan bagi perempuan yang kematian suami di antara kamu dan kemudiannya mahu
berkahwin maka hendaklah dia menahan dirinya (beriddahh) selama empat bulan dan
sepuluh hari))
Dalam satu kertas kerja yang ditulis oleh pensyarah
saya semasa belajar di Universiti Mu’tah, Jordan, iaitu Dr. Abd al-Hamid
al-Majali (ArabLawInfo.com: 2002), dijelaskan tentang hikmah disyariatkan iddah
bagi wanita yang kematian suami. Beliau antara lain menjelaskan bahawa ikatan
perkahwinan merupakan satu ikatan yang sangat kuat dan suci yang diasaskan oleh
perasaan cinta dan kasih sayang. Al-Quran banyak memberikan gambaran yang indah
tentang hubungan perkahwinan (lihat: al-Baqarah ayat 187 dan al-Rum ayat 21) di
mana pasangan suami isteri menjadi pakaian antara satu sama lain dan dijadikan
pula pasangan itu tempat untuk bersenang-senang dan mendapat ketenangan. Ikatan
zahir dan batin yang begitu kuat ini pastinya menjadikan perpisahan antara
kedua-duanya sangat sukar sekali apatah lagi jika perpisahan itu akibat
kematian.
Al-Majali menambah bahawa iddah antara lain dapat
memastikan rahim wanita bersih dari benih suami, mengenang kebaikan dan
keindahan hidup bersama suami, menzahirkan kesedihan atas pemergiannya,
memelihara kehormatannya serta mengelakkan fitnah. Wanita ialah makhluk tuhan
yang dianugerahkan dengan roh dan jasad. Dalam keadaan yang sangat sukar
selepas kematian suami, wanita memerlukan masa untuk membiasakan dirinya dengan
kehidupan baru yang pastinya jauh berbeza dengan kehidupan semasa suaminya
masih hidup.
TEMPOH IDDAH WANITA YANG KEMATIAN SUAMI
1) BAGI WANITA/ISTERI YANG TIDAK MENGANDUNG
Tempohnya ialah 4 bulan 10 hari dari tarikh
kematian. Perlu diingatkan bahawa ‘bulan’ di sini ialah bulan dalam kalender
Islam/ Hijrah bukannya kalender Masehi. Oleh itu, jumlah hari yang dia kena
beriddah ialah kira-kira 130 hari.
2)BAGI WANITA/ ISTERI YANG MENGANDUNG
Keadaan ini adalah menyamai keadaan saya yang
kehilangan suami tercinta ketika mengandung 8 bulan.
Untuk wanita seperti ini, secara ringkasnya
iddahnya tamat sebaik sahaja melahirkan anak (dan bukan 4 bulan 10 hari).
Malah, jika selang masa antara kematian suami dan juga kelahiran anak itu
sangat pendek, iddahnya tetap berakhir.
Contoh, dalam kes saya, ketika suami meninggal dunia,
saya sedang sarat mengandung 8 bulan. Kira-kira 40 hari selepas itu, saya pun
bersalin. Maka tamatlah iddah saya, iaitu hanya kira-kira 40 hari sahaja.
Contoh lain, katakanlah jika berlaku kematian
ketika si isteri mengandung 2 bulan. Selepas 7 bulan barulah dia bersalin, maka
itulah tempoh iddah yang perlu dilaluinya.
Contoh ketiga, katakanlah pasangan suami isteri
menaiki kenderaan dan berlaku kemalangan. Akibat hentaman yang kuat, si suami
meninggal di tempat kejadian, manakala si isteri bersalin tidak sampai beberapa
saat selepas itu, maka dengan serta merta juga iddahnya berakhir.
Dalil ataupun hujah bagi hukum ini adalah seperti
ayat Quran yang menyebut bahawa perempuan yang mengandung tempoh iddahnya ialah
sehingga melahirkan anak (al-Talaq, ayat 4). Dalil daripada hadis sahih juga
menjelaskan keadaan perempuan yang hamil ketika kematian suami lalu Rasulullah
s.a.w. membenarkannya berkahwin lain selepas bersalin (tidak perlu menunggu
hingga 4 bulan 10 hari). Hukum ini telah dijelaskan oleh baginda dalam hadis
tentang Sabi’ah al-Aslamiyah yang bersalin beberapa hari selepas kematian
suaminya (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Demikianlah pendirian majoriti fuqaha dalam kes
seperti ini.
Terdapat pula sebilangan fuqaha yang berpendapat
bahawa dalam keadaan ini hendaklah si isteri tadi beriddah mengikut ab’ad
al-ajalayn, iaitu tempoh yang paling panjang. Maksudnya, jika tempoh 4 bulan 10
hari lebih panjang dari tarikh bersalin, maka hendaklah wanita itu beriddah
selama 4 bulan 10 hari. Tetapi jika tarikh bersalin lebih lewat/ terkemudian
berbanding 4 bulan 10 hari, maka hendaklah dia beriddah hinggalah bersalin.
Pandangan ini di bawa oleh sebilangan kecil fuqaha.
Al-Fatihah buat bapa saudara saya Adam Bin Mat yang telah kembali ke rahmatullah pada 5hb Disember 2011. Semoga rohnya dicucuri rahmat..